BENAR kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bahawa suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, adalah tenang.
Keadaan itu jauh berbeza dengan sesetengah negeri yang boleh dikatakan hingar bingar sebaik sahaja semboyan kempen dimulakan.
Memasuki hari kelima kempen PRN Melaka, sehingga kini tiada serangan panas mahupun 'pergaduhan' khususnya membabitkan gabungan besar Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Malah, gelanggang demokrasi PRN Melaka boleh dianggap sebagai perlawanan persahabatan atau 'friendly match' dengan semangat muhibah yang menunjukkan isyarat positif budaya politik baharu di negara ini.










