MANILA: ASEAN perlu mengekalkan keazaman kolektifnya ketika krisis di Asia Barat, bencana alam dan tekanan semakin meningkat terhadap multilateralisme menguji kerjasama serantau, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria Theresa Lazaro.

Beliau berkata, cabaran itu telah merumitkan Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina, sekali gus menekankan keperluan negara anggota untuk mengekalkan kerjasama melangkaui penggiliran tahunan jawatan pengerusi.

"Jawatan Pengerusi mungkin bertukar daripada satu negara anggota kepada negara anggota yang lain, namun keazaman kolektif serta tanggungjawab asas kita terhadap ASEAN perlu kekal utuh," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), di sini, hari ini.