ARAU: Kesukaran hidup dan membesar dalam keluarga serba kekurangan tidak mematahkan semangat anak seorang buruh binaan untuk cemerlang, sehingga menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja di Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.

Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada Luqmanul Hakim Hidayat, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.

Menurut Luqmanul Hakim, semangat bapa yang menunggang motosikal untuk keluar mencari rezeki menyara mereka enam beradik menjadi titik tolak kepadanya merubah nasib keluarga.

Dia yang berasal dari Selangor, nekad menjadikan pendidikan sebagai jalan untuk keluarganya keluar daripada belenggu kesempitan hidup.