Kuala Lumpur : Pelakon dan usahawan, Cheta Pot Pet sanggup membelanjakan kira-kira RM100,000 bagi menganjurkan sebuah majlis resepsi istimewa sempena meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-18 bersama suami tercinta, Aaron Lee.
Majlis penuh gilang-gemilang yang berlangsung baru-baru ini, bukan sahaja menjadi simbolik kejayaan pasangan itu melayari bahtera rumah tangga hampir dua dekad, malah turut menjadi kenangan manis bersama lima cahaya mata mereka.
Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, 35, berkata penganjuran acara berkenaan diadakan khusus untuk mengabadikan memori indah bersama suami serta anak-anak yang menjadi saksi jatuh bangun kehidupan mereka.
Menurutnya, dia mahu membuktikan kepada anak-anak bahawa perasaan cinta dan kasih sayang dalam sesebuah ikatan perkahwinan wajar sentiasa diraikan tanpa mengira tempoh masa.









