KOTA TINGGI: Projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bernilai kira-kira RM900 juta di Sedili, di sini, dijangka memulakan kerja tanah awal tahun depan selepas kontraktor bagi projek berkenaan dipilih.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau dimaklumkan proses pemilihan kontraktor sudah selesai dan pihak terbabit perlu mengemukakan pelan sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.
Katanya, projek berkenaan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan. "Insya-Allah, kita akan cuba minta disegerakan. Saya percaya mereka perlu mengemukakan pelan dan sebagainya, tetapi pokoknya tahun depan sudah boleh mula kerja tanah," katanya.









