MELAKA: Walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak pertama yang kini baharu berusia 36 hari, seorang wanita menggagahkan diri keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Nurul Atikah Mohd. Kamal, 30, hadir ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Agama JAIM Al-Ahmadi, Paya Rumput Jaya di sini untuk membuang undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
Kehadirannya ke pusat pengundian itu ditemani suami, Muhammad Mursyid Hasni, 30.
Nurul Atikah berkata, biarpun masih berpantang selepas melahirkan cahaya mata sulung pada 9 Oktober lalu, ia bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat.









