GENEVA: Berlian merah jambu seberat 24 karat yang disifatkan sebagai antara paling berkualiti tinggi di dunia dan jarang ditemukan, berjaya dilelong pada harga 10.8 juta pound (RM58.4 juta) minggu ini.
Berlian potongan zamrud dikenali sebagai Bulgari Pink itu turut digelar ‘Mona Lisa bagi berlian merah jambu’ kerana keunikan warna dan tahap ketulenannya.
Berlian itu yang berada dalam koleksi peribadi sebuah keluarga selama lebih tujuh dekad, dibeli dari lombong Golconda di India, yang terkenal sebagai sumber kepada beberapa berlian paling tersohor dalam sejarah, termasuk Koh-i-Noor yang menghiasi mahkota Permaisuri Elizabeth, Ibu Permaisuri.
Bulgari Pink tergolong dalam kategori berlian Type IIa, iaitu jenis yang amat jarang ditemukan kerana tidak mengandungi kekotoran nitrogen atau boron pada tahap yang boleh diukur.









