KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan seseorang menteri kerana kedudukan isu berkenaan diperuntukkan secara jelas mengikut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Perdana Menteri dan seseorang menteri juga berhak meletakkan jawatan tanpa disyaratkan mendapatkan kelulusan Perdana Menteri.

Beliau berkata, Perkara 43(5) menetapkan menteri memegang jawatan selama diperkenankan YDPA dan membezakan dua cara tempoh jawatan menteri iaitu pembubaran Parlimen dan Perdana Menteri hilang undi kepercayaan majoriti.