Kuching: Sarawak mempunyai potensi besar untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi sumber tanah yang luas, kepelbagaian sektor pertanian, kekayaan biodiversiti serta pengetahuan masyarakat tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata segala kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mewujudkan peluang ekonomi produktif dan sumber pendapatan mampan kepada masyarakat.

Beliau berkata, perkembangan global ketika ini mengingatkan rantaian bekalan makanan mudah terjejas akibat gangguan luaran, peningkatan kos pengeluaran serta cabaran berkaitan perubahan iklim.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu terus memperkukuh pengeluaran makanan domestik selain membangunkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan bagi menghadapi ketidaktentuan pada masa depan.