KUALA LUMPUR: Sambutan luar biasa terhadap AM:PM SHOWCASE menyaksikan penyanyi Amir Masdi menambah satu lagi slot persembahan bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket untuk malam pertama.

Amir bakal mengadakan persembahan selama dua malam berturut-turut di Zepp Kuala Lumpur, masing-masing pada 19 dan 20 Disember ini.

Persembahan anjuran ULTIMATE MEDIA dengan kerjasama BACKSTAGE EVENTS serta sokongan MENARANETWORK itu bakal memberi peluang kepada peminat mendekati penyanyi berusia 30 tahun berkenaan menerusi sebuah persembahan eksklusif yang mengetengahkan sisi peribadinya sebagai penyanyi, penghibur dan pengkarya.

Amir yang popular menerusi lagu Nur Cinta sebelum ini membuktikan kredibilitinya sebagai antara penyanyi lelaki berkualiti di negara ini menerusi rangkaian lagu hit serta persembahan pentas yang bertenaga.