Arau: Anak peniaga pasar malam, Aidil Afiq Muhamed Hanif, 25, membuktikan kegagalan awal bukan penghalang kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pernah berputus asa menyambung pengajian selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memuaskan, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik itu berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 biarpun terpaksa bergelut membahagikan masa antara pelajaran dan membantu perniagaan bapanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, cabaran terbesarnya bermula apabila kedai bapanya di Batu Ferringhi musnah dalam kebakaran pada Julai lalu, memaksanya berulang-alik dari Perlis setiap hujung minggu untuk membantu bapanya berniaga di pasar malam.