MUAR: Dua wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota penguat kuasa wanita Majlis Perbandaran Muar (MPM).
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua suspek yang merupakan ibu dan anak berusia 52 dan 24 tahun itu ditahan susulan insiden pergelutan di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir di sini, kelmarin.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 5.45 pagi ketika sepasukan anggota MPM menjalankan operasi bersepadu menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.
“Semasa operasi dijalankan, kedua-dua wanita terbabit dipercayai telah mempertikaikan tindakan anggota operasi, menghalang pelaksanaan tugas serta cuba melepaskan anjing yang sedang ditangkap.










