SHAH ALAM: Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada esok ditangguhkan selepas baginda dilaporkan gering akibat dijangkiti Influenza A.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohd. Munir Bani berkata, bagaimanapun selepas menerima rawatan daripada doktor-doktor peribadi, keadaan kesihatan baginda dilaporkan semakin baik sejak gejala jangkitan dikesan pada pagi semalam.
Katanya, doktor-doktor peribadi yang merawat Sultan Sharafuddin, Datuk Dr. Anuar Onah dan Datuk Dr. Tan Hui Meng memberitahu baginda ketika itu mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
“Berdasarkan penilaian mereka (doktor perubatan), baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.










