KOTA BHARU – Usaha menjatuhkan kerajaan yang memerintah secara adil adalah perbuatan haram, kata Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki.Beliau yang juga Tokoh Turath Islam berkata, tindakan pihak tertentu yang berusaha menjatuhkan pemimpin yang sedang mentadbir negeri dan negara itu mengingatkan kepada kemunculan golongan khawarij.Menurutnya, golongan khawarij pernah menjatuhkan pemerintahan Saidina Uthman RA sebelum terlibat dalam peperangan dengan Saidina Ali RA selama bertahun-tahun."Sekarang masih ada Khawarij-Khawarij. Yang berfikir siang malam untuk menjatuhkan dua orang tokoh yang memerintah negeri, memerintah negara dengan secara adil."Membangun negeri, membangun negara, tapi ada usaha untuk menjatuhkan mereka. Na’uzubillah, haram," katanya ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi di sini pada Sabtu.Turut hadir merasmikan majlis dan bersalawat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Syeikh Wazir juga Profesor Adjung Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut mengulangi seruan takbir sebanyak tiga kali sebelum mengakhiri ucapannya.