WASHINGTON: Pemilik 720,796 kenderaan BMW di Amerika Syarikat (AS) diminta meletakkan kenderaan mereka di kawasan terbuka dan jauh dari bangunan susulan risiko kebakaran akibat kerosakan komponen elektrik.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) berkata, masalah itu berpunca daripada penyambung elektrik pada pam air yang berisiko dimasuki air sehingga menyebabkan litar pintas.

Dalam surat bertarikh 12 November bagi mengesahkan penarikan balik itu, NHTSA menasihatkan pemilik supaya meletakkan kenderaan di luar bangunan sehingga kerja pembaikan selesai.

Penarikan balik terbaharu itu menggantikan kempen sama pada 2024 yang membabitkan model kenderaan berkenaan. Pemilik yang sudah menjalani pembaikan dalam kempen terdahulu juga perlu mendapatkan pembaikan susulan.