CYBERJAYA: Setiap kanak-kanak termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) mempunyai potensi dan keistimewaan tersendiri yang perlu diberi ruang untuk berkembang serta diketengahkan tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.
Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Hamidah Khamis berkata, usaha memastikan kebajikan dan perkembangan kanak-kanak memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat.
“Setiap anak amat berharga. Setiap anak berhak disayangi dan diberikan peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah.
“Masyarakat perlu terus membudayakan sikap prihatin, saling menghormati dan menerima kepelbagaian supaya setiap kanak-kanak dapat membesar dengan penuh keyakinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Bakti 2026 di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, hari ini.









