Johor Bahru: Pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat diharap dapat menilai impak pembinaan pusat data di negara ini terutama daripada sudut penggunaan sumber asli dan kualiti hidup rakyat.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, pengoperasian kemudahan berkenaan memerlukan penggunaan elektrik dan air yang amat tinggi selain berpotensi menyumbang kepada isu penyalahgunaan tanah serta gangguan kualiti hidup persekitaran.

"Kita perlu mempertimbangkan keperluan penggunaan elektrik dan air yang sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan pusat data terhadap masyarakat kita termasuk tahap bunyi bising dan kecerahan lampu yang digunakan sepanjang hari sampai ke waktu malam," titah baginda.