Kuala Lumpur: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan membawa isyarat jelas bahawa atlet e-sukan kini mendapat pengiktirafan setaraf atlet daripada sukan lain, sekali gus mengiktiraf sumbangan setiap pemain dalam kejayaan pasukan negara.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, penambahbaikan itu amat bermakna memandangkan kebanyakan acara e-sukan dipertandingkan secara berpasukan dan kejayaan bergantung kepada koordinasi serta persefahaman setiap pemain.
"E-sukan ialah sukan berpasukan. Setiap pemain memainkan peranan yang sama penting dalam setiap kemenangan. Langkah ini tepat pada masanya kerana ia memberi isyarat jelas bahawa atlet e-sukan dihargai setaraf dengan atlet sukan lain, ketika kita bersiap untuk Sukan SEA 2027 di tanah air," katanya menerusi kenyataan media.









