Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian bumi, apabila aktiviti manusia memberi impak besar terhadap perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti dan sumber alam. (Gambar Bernama)JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah pihak berkuasa, sektor swasta serta masyarakat perlu menilai kesan pembangunan pusat data di negara ini, khususnya terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
"Kita perlu mempertimbangkan keperluan penggunaan elektrik dan air sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan pusat data terhadap masyarakat kita, termasuk tahap bunyi bising dan kecerahan lampu yang digunakan sepanjang hari sampai ke waktu malam," titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM.








