KUALA SELANGOR: Dengan jumlah penduduk hampir 250,000 orang, pembangunan pesat Bandar Puncak Alam atau Bandar Shah Alam 2 tidak seiring penyediaan infrastruktur asas, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan pembangunan di kawasan berkenaan.
Bandar yang pernah digelar Waterfall City itu mempunyai keluasan lebih 6,000 hektar dan kini menempatkan sekurang-kurangnya enam syarikat pemaju hartanah mega, namun keperluan infrastruktur asas belum diselesaikan secara menyeluruh sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.
Lebih membimbangkan, pembangunan yang semakin menghimpit kawasan berbukit dikatakan memberi tekanan kepada struktur semula jadi persekitaran, termasuk risiko kestabilan cerun dan kelestarian alam sekitar.









