KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuhkan kesiapsiagaan keselamatan siber negara dengan memberi tumpuan kepada keupayaan menjangka dan mencegah serangan, susulan ancaman siber yang semakin kompleks serta canggih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan proaktif perlu diutamakan berbanding tindakan reaktif.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan negara bersedia menghadapi ancaman yang boleh menyasarkan pelbagai sektor, termasuk perbankan dan institusi penting.

"Kita mesti membina kekuatan untuk menjangka serangan. Jangan tunggu reaktif. Kita perlu bersedia untuk menjangkakannya terlebih dahulu," katanya yang juga moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14, di sini, malam tadi.