Kontroversi membabitkan isu 'ayam bangkai' kini memasuki episod baharu selepas didapati rupa-rupanya tidak ada keseragaman peraturan dan penguatkuasaan undang-undang antara negeri serta Persekutuan dalam aspek pematuhan prinsip halal.

Pendedahan mengenai ketidakseragaman peraturan ini khususnya dalam aspek pelesenan, pemantauan, kaedah pengoperasian serta pematuhan syariah, menunjukkan sudah tiba masanya satu pendekatan nasional wajib diwujudkan bagi menangani isu berlarutan ini.

Hakikatnya, kewujudan enakmen khusus seperti Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Enakmen Perladangan Unggas 2005 di Pahang menunjukkan usaha mengawal selia industri ternakan sudah lama dilaksanakan. Namun, persoalannya ialah sejauh mana peruntukan berkenaan benar-benar mencukupi untuk menjamin setiap proses penyembelihan haiwan ternakan memenuhi tuntutan syarak dan prinsip halalan toyyiban.