GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan digesa mewajibkan semua pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam serta haiwan ternakan tempatan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sekiranya membekalkan produk kepada pasaran halal negara.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh sistem jaminan halal negara susulan pendedahan kes penyembelihan ayam yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak menerusi operasi penguatkuasaan di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Menurut beliau, kerajaan perlu menilai semula pendekatan pensijilan halal yang ketika ini secara umumnya berasaskan permohonan sukarela bagi pengusaha tempatan.
Katanya, pendekatan berkenaan menimbulkan persoalan apabila produk daging dan ayam import yang memasuki pasaran halal negara diwajibkan mendapat pengesahan daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).








