PUTRAJAYA – Seorang pemuda berusia 19 tahun diperintah oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk ditempatkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan anak saudaranya sehingga melahirkan anak dalam kejadian lima tahun lalu.
Semasa kejadian lima tahun lalu itu, pemuda tersebut berusia 14 tahun manakala mangsa berusia 12 tahun.
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan pendakwaan berhubung perintah yang dibuat dua mahkamah iaitu Majistret dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang hanya memerintahkan pemuda itu menjalani khidmat masyarakat.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy.









