Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Aina Abdul yang tampil menerusi lagu Bluest Sky akan beraksi pada giliran terakhir dalam saingan Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand, 14 November ini.
Turutan rasmi persembahan membabitkan 11 peserta dari negara Asia yang bakal bersaing merebut trofi sulung pertandingan itu diumumkan penganjur menerusi hantaran di media sosial.
Aina yang mewakili Malaysia akan membuat persembahan selepas peserta dari Vietnam, Kemboja, Laos, Mongolia, Bhutan, Filipina, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Nepal.
Pertandingan yang bakal berlangsung di One Bangkok Forum itu menghimpunkan barisan artis dengan latar belakang seni dan identiti muzik berbeza, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian industri hiburan di rantau Asia.








