Yan: Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak semalam selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir Laut, di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd Rahman, 58, tiba di rumah mereka di Kampung Singkir Laut, di sini, pada jam 2 petang dengan menaiki van jenazah untuk penghormatan terakhir.
Jenazah pasangan itu kemudian dibawa ke Masjid As Syakirin, Kampung Singkir Laut, untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan dan dikebumi pada jam 5.30 petang selepas solat Asar.
Lebih 200 orang termasuk anak-anak mangsa, ahli keluarga serta sanak saudara termasuk pensyarah dan pegawai dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hadir untuk memberi penghormatan terakhir.









