Melaka: Pengambilan kumpulan pelajar pertama dalam bidang Teknologi Kuantum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangka bermula tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum itu Jabatan Teknologi Kuantum akan diwujudkan bagi mempersiapkan negara menghadapi perkembangan teknologi berkenaan.
"Kita buka jabatan dulu. Saya fikir pengambilan (pelajar) untuk semester akan datang, tahun depan.
"Mula-mula latihan (diberikan) untuk tenaga pengajar dahulu. Ertinya, pensyarah dihantar untuk mengikuti pengajian sarjana atau kedoktoran ataupun kursus jangka pendek supaya mereka yang mempunyai latar belakang teknologi maklumat (IT) dan digital dapat menjadi peneraju kepada jabatan dan Fakulti Teknologi Kuantum," katanya ditemui selepas program Apa Khabar Mahasiswa? (Patriotisme Diperkasa bersama Azh@UiTM 2026) di UiTM Melaka Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.









