HARIMAU Malaya tidak boleh pulang dengan ‘tangan kosong’ apabila mengharungi dua aksi persahabatan menentang China dan Yemen di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre pada 14 dan 17 November ini.

Meskipun berdepan cabaran tanpa kehadiran beberapa pemain utama, skuad negara perlu memastikan kedua-dua perlawanan itu memberikan manfaat besar, khususnya dalam menguji kemampuan pemain yang diberi peluang untuk mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak utama.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, perlawanan itu wajar dimanfaatkan ketika misi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu melihat peningkatan kedudukan pasukan dalam ranking dunia.