Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sesak sejak tengah malam tadi, dengan beberapa kemalangan dilaporkan menjelang sambutan Deepavali, esok.
Kesesakan dilaporkan di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan, terutama laluan menuju utara, selain beberapa lokasi mengalami gangguan akibat kemalangan dan kenderaan rosak.
Menurut kemas kini PLUS menerusi platform X, trafik mula dilaporkan sesak seawal jam 12.04 tengah malam tadi di laluan arah utara dari Permatang Pauh ke Sungai Dua.
Keadaan sama dilaporkan dari Slim River ke Sungkai, Hospital Sungai Buloh ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Jasin ke Ayer Keroh, Kulai ke Sedenak serta Skudai ke Senai.









