KUALA LUMPUR: Kejayaan luar biasa Konsert Tradisional Gema Bumantara yang menghimpunkan 73,000 penonton Oktober lalu membuka lembaran baharu buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, untuk mengangkat muzik tradisional ke pentas lebih besar, termasuk ke luar negara.
Malah, sambutan hangat terhadap konsert berskala mega itu turut mencetuskan permintaan supaya persembahan berkenaan diteruskan menerusi edisi Gema Bumantara 2.0, selain jemputan untuk mementaskannya di Singapura.
Bagaimanapun, Siti mengakui perancangan merealisasikan hasrat itu memerlukan penelitian rapi, terutama membabitkan kos penganjuran, persediaan produksi dan komitmen membawa pasukan besar ke luar negara.
Katanya, beliau memerlukan masa untuk menilai pendekatan terbaik, termasuk kemungkinan memperkenalkan pembaharuan atau mengetengahkan nilai berbeza dalam persembahan muzik tradisional pada edisi seterusnya.









