PETALING JAYA: Isu dua tafsiran berhubung Titah Pengampunan Diraja terhadap Datuk Seri Najib Razak dengan Perintah Pelepasan Selepas Pembayaran Denda yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak sepatutnya berbangkit.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu sewajarnya telah diperjelaskan lebih awal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengelakkan kekeliruan berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya perkara yang perlu diteliti itu berkaitan penolakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu, AGC sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada mahkamah pada tarikh berkenaan.