BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mendapati TikTok gagal melindungi kesihatan mental pengguna susulan pendedahan berterusan kepada kandungan berulang yang boleh memburukkan gangguan pemakanan dan kebimbangan.

Dalam keputusan awal pada Jumaat, badan kawal selia Kesatuan Eropah (EU) itu memberi amaran algoritma platform berkenaan berpotensi memudaratkan, khususnya golongan muda dan pengguna rentan yang mudah terperangkap dalam aliran kandungan tertentu.

TikTok, platform video pendek milik syarikat China, mempunyai kira-kira 189 juta pengguna di EU.

Siasatan mendapati platform itu gagal menghalang pengguna daripada terus menerima kandungan berulang berkaitan imej tubuh badan dan pengasingan diri, yang boleh mencetuskan kebimbangan, kesedihan serta memburukkan gangguan pemakanan dan masalah kesihatan mental sedia ada.