BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah semalam memaklumkan bahawa algoritma cadangan kandungan TikTok melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU) kerana berisiko mendedahkan pengguna secara berulang kali kepada kandungan memudaratkan, berdasarkan dapatan awal siasatannya, lapor Anadolu Ajansi.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, suapan peribadi TikTok yang dikenali sebagai 'For You' didakwa boleh mendorong pengguna ke dalam apa disebut sebagai 'lubang arnab', iaitu keadaan apabila pengguna berterusan disajikan video berkaitan masalah kesihatan mental, kesedihan, pengasingan diri dan imej tubuh badan.

Pendedahan berulang kepada kandungan sedemikian didakwa boleh menjejaskan kesejahteraan mental pengguna, khususnya golongan bawah umur dan orang dewasa yang mudah terdedah kepada risiko, menurut dapatan awal itu.