Brussels: Suruhanjaya Eropah memaklumkan pada Jumaat bahawa algoritma cadangan kandungan TikTok melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU) kerana berisiko mendedahkan pengguna secara berulang kali kepada kandungan memudaratkan, menurut dapatan awal siasatannya, lapor Anadolu Ajansi.
Suapan peribadi TikTok yang dikenali sebagai "For You" boleh mendorong pengguna ke dalam apa yang disebut sebagai "lubang arnab", iaitu keadaan apabila pengguna terus disajikan dengan video berkaitan masalah kesihatan mental, kesedihan, pengasingan diri dan imej tubuh badan, menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Pendedahan berulang kepada kandungan sedemikian boleh menjejaskan kesejahteraan mental pengguna, khususnya golongan bawah umur dan orang dewasa yang mudah terdedah kepada risiko, menurut dapatan awal itu.










