SAO PAULO: Ferrari mengadakan pertemuan bagi meredakan ketegangan susulan insiden membabitkan Lewis Hamilton dan Charles Leclerc pada Grand Prix Mexico City minggu lalu yang menjejaskan peluang pasukan itu mencatat keputusan satu-dua.

Ketua pasukan Ferrari, Frederic Vasseur, berkata kedua-dua pelumba berkenaan sudah menyelesaikan perselisihan dan kini mengalihkan perhatian kepada perlumbaan Grand Prix Sao Paulo.

Pertemuan itu diadakan selepas Hamilton secara terbuka mengkritik insiden pada pusingan pertama yang menggagalkan harapan Ferrari untuk mendominasi perlumbaan menerusi kedudukan satu-dua.

Pelumba Britain itu sekali lagi menyuarakan rasa kecewanya terhadap insiden berkenaan pada Khamis lalu.