MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka mengarahkan jentera pilihan rayanya memperhebat kempen sepanjang hujung minggu ini dengan tumpuan mendekati lebih ramai pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata gerak kerja itu perlu dimanfaatkan untuk menerangkan tiga fokus utama dan 12 inisiatif yang digariskan menerusi manifesto 'Aspirasi Melaka Rumah Kita'.

Beliau berkata, memasuki hari kelapan kempen, jentera PH perlu meningkatkan aktiviti lapangan termasuk usaha menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

"Kita tahu bahawa hujung minggu, Sabtu dan Ahad, peningkatan kepada jentera kita untuk lebih menyantuni, lebih ramai lagi pengundi kita dalam melalui gerak kerja apa yang kita panggil sebagai get out the votes, GOTV," katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH, di sini hari ini.