KUALA LUMPUR: Kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai peluang untuk meredakan ketegangan geopolitik susulan konflik Iran serta ketidaktentuan dasar tarif Presiden AS, Donald Trump yang semakin memberi tekanan kepada ekonomi serantau terutamanya Asia.

Penganalisis berpendapat, perkembangan itu penting bagi Malaysia kerana sebarang perubahan dasar Washington boleh memberi kesan langsung terhadap perdagangan, pelaburan dan kos tenaga negara.

Ia khususnya ketika konflik Asia Barat meningkatkan risiko gangguan bekalan serta kenaikan kos pengeluaran dan logistik.

Felo Penyelidik Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nor Azura A Rahman, berkata penguasaan Demokrat di kedua dewan Kongres AS berpotensi memperkukuh mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran Trump, sekali gus meningkatkan tekanan supaya pendekatan diplomatik diberikan keutamaan dalam menangani konflik berkenaan.