KUALA LUMPUR: Sebuah kereta terbalik selepas bergesel dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.3 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam ketika Perodua Alza dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ketika melepasi susur untuk memasuki jalan utama, kereta berkenaan bergesel dengan Proton Saga yang datang dari arah Semenyih.

"Akibat kejadian itu, kereta dipandu peniaga lelaki berusia 20 tahun terbalik di atas jalan raya. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya dalam kenyataan, hari ini.