TIDAK semua watak antagonis dilahirkan untuk dibenci. Adakalanya, karakter penjahat lebih mencuri perhatian berbanding hero sehingga dialog, gaya dan penampilannya terus terpahat dalam ingatan penonton biarpun bertahun-tahun selepas sesebuah naskhah ditayangkan.

Daripada ketua kongsi gelap berhati kering, samseng psikopat hinggalah penguasa hierarki asrama, karakter gangster mempunyai daya tarikan tersendiri.

Gala minggu ini menyenaraikan lima karakter gengster paling ikonik dalam perfileman Malaysia, membuktikan adakalanya penjahat lebih meninggalkan sengat berbanding wira hingga menjadi sebutan penonton.

Daripada gengster jalanan kepada penguasa hierarki sekolah berasrama, Kahar menjadi fenomena baharu dalam budaya popular Malaysia. Karakter lakonan Amir Ahnaf itu mula mencuri perhatian menerusi siri Astro Originals, Projek: High Council pada 2023.