PUTRAJAYA: Rayuan difailkan Menteri Sumber Manusia berhubung pertikaian antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) bertujuan mendapatkan penentuan Mahkamah Rayuan terhadap isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Tinggi.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerusan rayuan itu tidak bermaksud kementerian menutup ruang kepada penyelesaian secara rundingan antara kedua-dua pihak.
“Menteri Sumber Manusia tidak memohon sebarang penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi manakala Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) telah mengambil langkah proaktif dengan memanggil pihak terlibat bagi meneruskan proses perdamaian.








