KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) meletakkan kepelbagaian kaum dan integriti calon sebagai antara kekuatan utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika sentimen perkauman dilihat menjadi antara cabaran dalam persaingan politik negeri berkenaan, PH memilih pendekatan merangkul kekuatan masyarakat Melayu, Cina dan India dengan mengetengahkan calon yang berwibawa, bersih serta beramanah bagi membawa suara rakyat dan memikul tanggungjawab memajukan Melaka.

“Justeru, dengan penuh rasa insaf dan rendah hati, saya memohon agar rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada pasukan Harapan yang menawarkan kerja keras, kepimpinan berintegriti serta pencapaian yang telah terbukti untuk membela rakyat dan memajukan negeri,” kata beliau menerusi hantaran di platform X, hari ini.