KUALA LUMPUR: Perjalanan pulang ke kampung sempena cuti sambutan Deepavali esok menyebabkan trafik di beberapa lokasi lebuh raya utama meningkat dan perlahan setakat 10 pagi ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata antara laluan yang sesak ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dengan trafik menghala ke Pantai Timur sesak dari Plaza Tol Gombak hingga ke Lentang.
“Untuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2, trafik masih lancar,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Beliau berkata di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 arah utara, trafik perlahan dari Sungai Buloh hingga ke Tanjong Malim, Trolak ke Tapah, Gopeng ke Simpang Pulai, Alor Pongsu ke Bandar Baharu serta Permatang Pauh ke Plaza Tol Sungai Dua.









