ADA manusia pernah tersilap langkah sehingga melakukan perkara yang bercanggah dengan akidah. Apabila dia menyedari kesalahannya, mengakuinya dan menyatakan taubat, sepatutnya masyarakat membimbingnya kembali kepada jalan Allah. Namun, di media sosial, ada yang terus mengungkit kisah silam, mempertikaikan keikhlasan dan mengeluarkan hukuman seolah-olah mengetahui isi hatinya. Persoalannya, siapakah kita untuk menutup pintu yang Allah sendiri buka?
Islam tidak pernah memandang ringan dosa, apatah lagi perbuatan yang merosakkan akidah. Syirik dan kekufuran adsalah perkara sangat berat yang wajib dijauhi. Namun, ketegasan mempertahankan akidah tidak bererti kita berhak menafikan peluang seseorang untuk kembali. Bezakan antara mengecam perbuatan salah dengan menjatuhkan hukuman terhadap kedudukan iman seseorang tanpa ilmu dan penelitian.








