LONDON: Hubungan pengendali England, Thomas Tuchel dengan bintang Real Madrid, Jude Bellingham yang sebelum ini disifatkan seperti 'roller coaster', kini kembali pulih dan berada dalam keadaan positif.
Tuchel mengakui beliau gembira membimbing pemain tengah berusia 23 tahun itu selepas kedua-duanya melalui tempoh mencabar sejak pengendali dari Jerman berkenaan mengambil alih skuad England pada 2025.
Bellingham yang dua kali memenangi anugerah Pemain Terbaik England sejak era Tuchel bermula, sebelum ini pernah berdepan ketegangan dengan pengendali itu susulan beberapa isu membabitkan sikapnya ketika beraksi di atas padang.
Malah, Tuchel pernah memohon maaf tahun lalu selepas mendedahkan ibunya menganggap sebahagian tingkah laku Bellingham ketika beraksi sebagai sesuatu yang menjengkelkan.








