Kuala Muda: Perkenalan sejak 13 tahun lalu menjadi titik permulaan hubungan persahabatan dua wanita ini, malah perbezaan kaum dan agama bukan halangan untuk mereka menjadi teman rapat satu sama lain.

Biarpun sudah tinggal berjauhan, mereka masih berhubung dan keakraban itu ibarat Nur Najihah Muhaimin, 35, atau Jea dan T Avieenya, 33, atau Vinya ada pertalian darah.

Menerusi satu hantaran video di TikTok, kelihatan Jea yang kini menetap di Gurun, Kedah mengambil anak bongsunya, Umar yang ditinggalkan sementara di rumah Vinya, di Teluk Intan, Perak.

Menceritakan kisah di sebalik video itu, Jea yang bekerja di sebuah syarikat korporat berkata, dia keluar bersama Vinya baru-baru ini dan disebabkan letih, Vinya menawarkan untuk menjaga anaknya, Umar Alejandro Ahmad Qusairi atau Umar yang berumur tiga bulan dengan bantuan ibunya.