Kenangan menjaga arwah nenek yang menghidap penyakit jantung dan strok bersama ahli keluarga masih terpahat dalam ingatan Dr Wan Najah Maryam Mohd Daud, 37, setiap kali mengenangkannya semula ketika itu dirinya masih kecil.

Ketika itu, beliau dan adik beradik lain hanya mampu membantu ibu menguruskan keperluan harian nenek, termasuk memandikan dan menjaganya tanpa benar-benar memahami penyakit yang ditanggung wanita berkenaan.

Namun, selepas melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan bergelar doktor, barulah beliau memahami keadaan sebenar yang pernah dilalui nenek sehingga timbul rasa terkilan kerana tidak berpeluang menggunakan ilmu dimiliki untuk menjaganya dengan lebih baik.

Lebih menyentuh perasaan, nenek meninggal dunia ketika beliau berada dalam tahun kedua housemanship (doktor pelatih), sekali gus menjadikan pengalaman itu antara titik perubahan yang mendorongnya memilih bidang geriatrik atau kepakaran penjagaan kesihatan warga emas.