AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto bersama menawarkan sebanyak 113 inisiatif merangkumi enam teras utama, termasuk 20 komitmen khusus yang menyentuh secara langsung kehidupan rakyat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto bertemakan ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’ itu dirangka dengan mengambil kira keperluan kira-kira 687,697 pengundi di negeri ini.
“Manifesto ini merangkumi pelbagai aspek penting termasuk perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta keperluan pembangunan negeri. Daripada keseluruhan 113 inisiatif yang digariskan, sebanyak 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan kehidupan seharian rakyat.









