Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung video tular di media sosial, yang mendakwa berlaku salah laku membabitkan anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di Puncak Erskine, Jalan Fettes di Tanjung Tokong, di George Town.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya mengesan video itu hari ini, susulan penyebarannya di media sosial yang menarik perhatian masyarakat.

“Satu laporan polis telah diterima daripada anggota polis yang terbabit dan dia menafikan dakwaan berlaku salah laku rasuah semasa pemeriksaan dijalankan.

“Ekoran itu polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian yang dipaparkan dalam video tular itu, di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam tadi.