KUALA LUMPUR: Pingat gangsa Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 mungkin memberi sedikit kelegaan buat Speedy Tigers, namun kegagalan sekali lagi menembusi final memperlihatkan masih ada kelemahan yang perlu segera ditangani skuad hoki lelaki negara.

Malaysia menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan Korea Selatan 5-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Punjab, India, kelmarin.

Pencapaian itu menyaksikan Malaysia mengulangi kedudukan ketiga buat kali keenam dalam sejarah kejohanan berkenaan, selepas lima kali melakukannya secara berturut-turut dari edisi sulung pada 2011 hingga 2018.

Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan mengakui kecewa apabila pasukannya gagal melangkah ke final, meskipun menyifatkan jurang antara Malaysia dan Jepun dalam aksi penentuan ke perlawanan akhir tidak begitu besar.