MUNGKIN bagi sesetengah orang, meletakkan tanaman di dalam atau di luar rumah akan menambah 'tangki oksigen' kawasan berkenaan selain memberi keindahan kepada persekitaran rumah dengan tona hijau semula jadi.
Hakikatnya, tidak semua tumbuhan sesuai dijadikan hiasan atau dekorasi kediaman kerana ada yang boleh mengundang bahaya kepada penghuni terutama kanak-kanak kecil dan haiwan peliharaan.
Menambah dekorasi hijau sama ada di halaman atau di dalam rumah memang meningkatkan keceriaan susulan warna yang menyegarkan, namun jika salah memilih pokok, ia mungkin merisikokan kesihatan penghuni itu sendiri.
Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Christopher Teh Boon Sung berkata, pokok untuk dalam rumah perlu dipilih berdasarkan cahaya yang ada, keselamatan penghuni dan saiz pokok apabila matang.








